Situasi yang melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu membuktikan kekurangan komunikasi dan penyelarasan yang serius dalam kepemimpinan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH).


Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, beliau berdepan dengan situasi 'menakutkan' sebanyak dua kali hari ini susulan daripada kenyataan dua menteri itu.

"Apa sudah jadi dengan Kabinet kita? Kenapa dua menteri kanan membuat dua kenyataan berbeza berhubung isu yang sama?

"Siapa yang akhirnya akan menentukan? Ini semua sangat mengelirukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dominic mengulas mengenai kenyataan Mohamed Azmin iaitu kerajaan telah memuktamadkan pembatalan kontrak dengan CCCC bagi projek ECRL yang digantung pada Julai 2018 pada mesyuarat kabinet dua hari lalu.

Kenyataan Naib Presiden PH itu bagaimanapun mengejutkan Guan Eng yang berpendapat Mohamed Azmin mungkin tidak dimaklumkan mengenai keputusan dibuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu mesyuarat Kabinet, Khamis lalu. - UTUSAN ONLINE