Sehingga hari ini iaitu sudah memasuki hari ke-12 selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu, Perlis menjadi satu-satunya negeri yang masih belum membentuk kerajaan negeri.
Pelbagai persoalan timbul mengenai kelewatan tersebut meskipun Barisan Nasional (BN) memperolehi memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan apabila menang 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya lalu.
Antaranya dikatakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail 'kurang berkenan' dengan calon yang dinamakan oleh oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim iaitu adiknya sendiri, Datuk Ismail Kassim.
Selain itu, turut kedengaran akan berlakunya pembentukan kerajaan campuran iaitu gabungan BN dengan Pakatan Harapan yang mempunyai tiga wakil rakyat seterusnya membuka ruang lebih mudah antara negeri ini dengan kerajaan Pusat.
Apa jua sekalipun, segala keputusan terserahlah Tuanku Syed Sirajuddin kerana baginda lebih tahu apa yang perlu dilakukan demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Sementara itu, bekas ADUN Santan, Datuk Sabry Ahmad berkata, beliau melihat kelewatan pelantikan Menteri Besar itu adalah kerana Tuanku Syed Sirajuddin perlu membuat pertimbangan membabitkan beberapa perkara sebelum membuat keputusan.
Katanya, Raja Perlis sudah pastinya akan memilih calon yang terbaik untuk diketengahkan sebagai Menteri Besar.
“Cabaran kali ini dilihat cukup berbeza kerana Perlis menjadi negeri pembangkang tidak sama seperti sebelum-sebelum ini iaitu selari dengan kerajaan Pusat.
“Menteri Besar yang dilantik juga seharusnya mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Pusat selain mampu mentadbir negeri dengan efektif memandangkan kita kekurangan sumber ekonomi selain bergantung sepenuhnya dengan kerajaan Pusat untuk urusan pengurusan dan pentadbiran negeri," katanya.
Dalam pada itu, difahamkan, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka menghadap Tuanku Syed Sirajuddin bagi membincangkan soal tersebut esok. - UTUSAN ONLINE