Judul : Kalau Bukan Dengan PH-PPBM, PAS Dengan Siapa? - A Kadir Jasin
link : Kalau Bukan Dengan PH-PPBM, PAS Dengan Siapa? - A Kadir Jasin
Kalau Bukan Dengan PH-PPBM, PAS Dengan Siapa? - A Kadir Jasin
oleh: A Kadir Jasin
PENDAPAT umum adalah semua parti politik dan calon pilihan raya bertanding untuk menang walaupun sekali-sekala ada juga yang bertanding bukan untuk menang.
Ada yang bertanding untuk mencipta sejarah, kerana marah dan ada juga sebab mendapat upah daripada pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.
Untuk Pilihan Raya Umum (PAU) akan datang, matlamat parti-parti yang menentang Umno/Barisan Nasional adalah mengalahkan parti itu dan menubuhkan sebuah kerajaan pakatan bagi menyelamatkan negara yang sedang dirobek-robekkan oleh pentadbiran Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.
Buat masa ini sudah wujud gabungan yang melibatkan parti-parti Pakatan Harapan (PH) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).Mereka menandatangani perjanjian kerjasama pada 13 Disember baru lalu.
PH seperti kita ketahui dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Penandatanganan Pakatan Harapan-PPBM, 13 Disember |
PAS telah “bersumpah” tidak akan menyertai mana-mana gabungan yang dianggotai DAP dan Amanah. Amanah dan DAP pun sama. Mereka tidak akan bekerjasama dengan PAS.
Jadi hanya tinggal PKR dan PPBM yang masih boleh menerima PAS. Atas sebab itulah kedua-dua buah parti sedang berbincang dengan PAS. Matlamat pokoknya adalah mengalahkan Umno/BN melalui pertandingan satu-lawan-satu.
Di antara PPBM dengan PKR, PPBM lebih bebas untuk berunding dengan PAS sebab ia bukan anggota PH. Ia hanya menjalin kerjasama dengan PH.
Jadi dalam hal rundingan dengan PAS ini, PPBM mengambil peranan utama.
Rombongan PPBM yang dipimpin oleh presidennya, (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin, telah pun menemui pasukan PAS yang diketuai oleh timbalan presidennya, (Datuk) Tuan Ibrahim Tuan Man pada 9 November lalu di Kuala Lumpur.
Rundingan PAS-PPBM itu tidak ditentang oleh DAP dan Amanah. Seperti PKR dan PPBM, Amanah dan DAP juga sekata, iaitu kerajaan Umno/BN wajib ditumbangkan demi menyelamatkan Malaysia.
Cuma kita harus faham sensitiviti dan permusuhan di antara PAS dengan Amanah dan DAP.
Kunci katanya adalah berpakat bagi mengalahkan Umno/BN melalui pertandingan satu-lawan-satu.
Premis Kerjasama
Maka atas premis bertanding untuk menang secara satu-lawan-satu inilah kita perlu mengukur dan mengadili tindak-tanduk PAS seterusnya.
Di kalangan kepemimpinan PPBM, mereka telah pun sekata bahawa rundingan dengan PAS sangat dialu-alukan, tetapi wajiblah ada tolak-ansur dan jadual.
Oleh sebab PRU mungkin diadakan secara mengejut, semua pihak kesuntukan masa. Justeru itu rundingan dengan PAS tidak boleh berlarutan.
Keputusan harus dibuat menjelang pertengahan bulan depan, iaitu sebulan dari sekarang. Itulah mandat yang diberikan kepada Muhyiddin dan pasukannya.
Kalau selepas tarikh itu persetujuan belum dicapai atau PAS menolak kerjasama maka andaiannya adalah PAS sebenarnya bersama Umno/BN atau setidak-tidaknya pun Abdul Hadi bersama Najib.
Soalnya, kalau bukan dengan PH-PPBM dengan siapa lagi PAS akan bergabung untuk mempertahankan kedudukannya sekiranya bukan dengan Umno?
Bersendirian PAS akan kalah teruk melainkan memang tujuan PAS untuk membunuh diri dengan melakukan harakiri.
Dalam bahasa yang mudah, kalau PAS tidak bersama PH-PPBM maka ia bersama Umno/BN tidak kiralah secara tersurat atau tersirat, dihebahkan atau berselindung.
Mengapa Umno?
Kalau PAS bersama Umno/BN persoalan seterusnya yang pasti timbul, apakah dorongannya?
Adakah kerana PAS telah dijanjikan sesuatu yang fundamental (seperti sokongan kepada Hudud/Negara Islam) atau kerana PAS sudah termakan budi?
Kalau motivasinya adalah berkaitan yang pertama, kita sudah lihat bagaimana kerajaan Umno/BN telah mempersendakan PAS dengan melengah-lengahkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai Akta 355.
Pada mulanya Umno/BN membuat berbagai-bagai helah bagi menyekat pembentangan rang undang-undang itu.
Kemudian ia membenarkan pula bil itu dibentangkan sebagai Rang Undang-Undang Ahli Persendirian oleh Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang, (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang. Abdul Hadi melakukannya pada 26 Mei lalu.
Seterusnya, menteri Umno/BN cuba mensabotaj dengan mengatakan masa tidak cukup untuk membahaskannya dalam sesi yang baru berakhir.
Sekonyong-konyong, Abdul Hadi sendiri “menangguhkan” penerusan perbahasan rang undang-undang itu atas alasan mengelak kekeliruan.
Beliau dilaporkan sebagai berkata, perbahasan perlu ditangguhkan kerana gangguan oleh bukan Islam walaupun bil itu hanyalah untuk orang Islam.
Langkah mengejut Abdul Hadi itu membingungkan ramai orang sehingga tercetus semula cakap-cakap bahawa PAS sudah termakan budi dan sedang diperas ugut oleh Umno/BN.
Najib dan Abdul Hadi: Baju sewarna tanda mesra |
Apatah lagi apabila pada 8 Ogos lalu PAS mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita Sarawak Report (SR) kerana mendakwa kononnya PAS menerima derma RM90 juta daripada Najib, tetapi sampai hari ini tidak mengotakannya.
Kalau SR berdusta, mengapa tidak kemukakan saman?
Gertak PAS itu sama dengan gertak Najib yang mengancam mengemukakan saman ke atas Wall Street Journal Julai tahun lalu mengenai RM2.6 bilion duit 1MDB yang masuk ke dalam akaun peribadinya.
Hari ini, tuduhan WSJ itu menjadi kenyataan dengan pelbagai kes mahkamah dan pembekuan aset berkaitan 1MDB yang sedang berjalan di merata dunia.
Tindakan PAS berdiam diri mengenai ancaman terhadap SR itu menyebabkan perasaan syak berlegar di fikiran banyak orang bahawa PAS, atau setidak-tidaknya pun individu tertentu dalam PAS, telah menerima sumbangan daripada Najib atau Umno.
Kesimpulannya, PAS perlu berunding dan bercakap berlandaskan keikhlasan dan berhenti daripada memberi isyarat yang bercanggah – lain dalam rundingan dan lain di hadapan penyokong.
Kalau tidak, syak wasangka bahawa ia sedang bersekongkol dengan Umno akan menjadi lebih kuat dan berleluasa .
Wallahuaklam.
Demikianlah Artikel Kalau Bukan Dengan PH-PPBM, PAS Dengan Siapa? - A Kadir Jasin
Sekianlah artikel Kalau Bukan Dengan PH-PPBM, PAS Dengan Siapa? - A Kadir Jasin kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Kalau Bukan Dengan PH-PPBM, PAS Dengan Siapa? - A Kadir Jasin dengan alamat link https://beritawawancara.blogspot.com/2016/12/kalau-bukan-dengan-ph-ppbm-pas-dengan.html
0 Response to "Kalau Bukan Dengan PH-PPBM, PAS Dengan Siapa? - A Kadir Jasin"
Posting Komentar