Ketua Penerangnnya, Nazman Che Ibrahim berkata, pihaknya turut mendesak pihak berkuasa supaya melakukan siasatan secara terperinci mengenai dakwaan tersebut khususnya penyebaran audio percakapan yang dikatakan di antara Siti Kassim dengan seorang lelaki Orang Asli dari Gerik, Perak yang mengaitkan konspirasi tersebut.

Beliau berkata, sekiranya terbukti benar butiran disebut dalam audio itu, maka bermakna Peguam Negara telah berada di bawah ‘telunjuk’ politik serta sesuatu yang amat mengecewakan, memalukan dan menambah lagi titik hitam sejarah negara.

"Negara digemparkan lagi dengan pendedahan terbaharu rakaman audio yang didakwa suara perbualan antara peguam, Siti Kassim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kassim dengan seorang penduduk Orang Asli dari Gerik, Perak.

"Audio tersebut sekali gus bakal memberi jawapan terhadap tujuan serta motif saman yang telah dikemukakan Kerajaan Pusat diterajui Pakatan Harapan (PH) terhadap Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Pas berkaitan isu Orang Asli Pos Simpor baru-baru ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 18 Januari lalu, buat pertama kalinya selepas merdeka, Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan prosiding mahkamah mewakili masyarakat Orang Asli terhadap Kerajaan Negeri Kelantan berhubung tanah adat Pos Simpor, Gua Musang.

Peguam Negara, Tommy Thomas dilaporkan berkata, hal itu susulan kerajaan negeri dan beberapa agensinya baru-baru ini mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta.

Nazman berkata, pendedahan itu telah membongkar dan mengesahkan kesangsian banyak pihak terhadap kemungkinan wujudnya pencatur yang berkomplot mengheret perkara tersebut ke kancah perundangan.

"Kini, ia seolah-olah sedang meletakkan Tommy di kandang pesalah untuk diadili. Apatah lagi terdahulu sebelum ini hubungan rapat kedua mereka tidak lagi menjadi rahsia apabila rancak bersama menari ‘twist’ hingga dilihat mencabar etika profesion guaman.

"Daripada butiran disebut dalam audio itu jelas menunjukkan bahawa saman tersebut adalah satu pelan atau perancangan, di mana sebenarnya bukan berteras pelanggaran undang-undang oleh pihak Kelantan dalam mengurus hal ehwal atau hak Orang Asli.

"Malah ia turut mendedahkan bahawa ‘blockade’ yang kononnya dibentengi oleh pemuda Temiar (baca NGO Jaringan) rupanya menjadi sebahagian angkara didalangi ‘mastermind’ luar yang datang menghasut ini kerana sebagaimana terpampang luas di dada-dada media, peguam itu bersama NGO Jaringan, serta pemimpin politik dari PH paling kerap dan aktif turun ke Hutan Simpan Hulu Kelantan ‘memperjuangkan’ isu ini," katanya. - UTUSAN ONLINE