Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan bahawa telah menjadi peraturan bagi semua masjid di dalam negeri Johor tidak membenarkan sesiapa berceramah terutama di dalam masjid atau kawasan sekitarnya kecuali telah mendapat tauliah dan kebenaran yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Sehubungan itu, baginda mengarahkan pemimpin politik berkenaan yang juga seorang Ahli Parlimen segera mengadap baginda serta memohon maaf secara bersurat serta tidak mengulangi lagi kesilapan itu.
“Semua masjid di negeri Johor adalah kawasan larangan untuk sebarang unsur politik sejak dahulu lagi. Ini merupakan tradisi negeri Johor.
“Ia adalah tempat beribadah dan menyatukan ummah. Sebarang unsur politik yang dibawa hanya akan memecahbelahkan jemaah, menjejaskan kesucian masjid serta keharmonian masyarakat,” titah Sultan Johor yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi Baginda di sini hari ini.
Terdahulu, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima mengadap Penasihat MAINJ, Datuk Noh Gadot serta Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.
Semalam, tular di media sosial sebuah rakaman video menunjukkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dikatakan berceramah di dalam sebuah Masjid Jamek Kolam Air.
Baginda juga bertitah supaya semua pengerusi dan ahli jawatankuasa (AJK) Masjid sentiasa mematuhi peraturan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Johor dan bertanggungjawab untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi. - K! ONLINE