Gesaan itu disuarakan oleh Presiden Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahya yang menegaskan, tindakan agresif itu mesti diatasi kerana berupaya merosakkan budaya murni dalam masyarakat

Oleh itu, beliau berkata, semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik Melayu perlu bersatu hati untuk mengukuhkan falsafah dan konsep negara Islam di Malaysia.

“Konsep negara Islam ini penting untuk menafikan suara-suara sumbang daripada pihak yang lantang mendakwa kononnya Malaysia merupakan negara sekular.

“Malah, kita lihat pakatan antara orang Islam dan bukan Islam dalam Pakatan Harapan (PH) didominasi oleh pihak yang anti dengan konsep negara Islam sehingga mencetuskan cadangan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan pelancaran kempen Malaysia Negara Islam di Hotel International di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Naib Presiden Isma, Fauzi Asmuni.

Kira-kira 30 NGO seperti Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (Gasma), Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) dan Pertubuhan Jalur Tiga Malaysia (Jati) menyatakan sokongan terhadap kempen tersebut.

Kempen yang menyasarkan sejuta tandatangan rakyat itu akan menjelajah ke seluruh negara sebelum petisyen tersebut diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong dan di bawa ke Parlimen untuk direkodkan dalam hansard rasmi. - UTUSAN ONLINE  #CelahGelegar