Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mendedahkan perkara itu mendakwa, rancangan tersebut hendak dilaksanakan oleh beberapa exco berkenaan dengan cuba memujuk sekurang-kurangnya lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) supaya menyokong usul undi tidak percaya yang akan dibuat di DUN.
Menurutnya, exco-exco berkenaan memerlukan sekurang-kurangnya sokongan dua undi daripada wakil rakyat BN bagi memastikan usul undi tidak percaya yang akan dibawa terhadap Ahmad Faizal diterima DUN.
"Mereka perlukan sokongan daripada wakil rakyat BN kerana Pakatan Harapan mempunyai 31 kerusi. Jika undi tidak percaya diusulkan, Menteri Besar dan dua wakil rakyat yang menyokong beliau iaitu ADUN
Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin sudah tentu tidak akan menyokong usul berkenaan.
"Jadi mereka hanya ada 28 undi menyokong. Kalau BN (25 ADUN) dan Pas (tiga ADUN) berkecuali, jumlah 28 ADUN yang menyokong usul berkenaan tidak cukup untuk jadi kerajaan. Kami 25 wakil rakyat UMNO sudah berikrar tidak akan memberi sokongan terhadap usul tersebut.
"Kalau berlaku sedemikian, mungkin Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan membubarkan DUN dan Pilihan Raya Negeri akan diadakan. Saya percaya peristiwa peralihan kerajaan negeri Perak pada tahun 2009 akan berulang, kita tunggu Pilihan Raya Negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Khas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi UMNO bersama Pemimpin UMNO Bahagian-Bahagian negeri di Dewan Konvensyen Sungai Siput, di sini hari ini.
Menurut Saarani, masalah dalaman kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh dinafikan kerana berkecamuk di kalangan mereka apabila kerap kali menyanggah beberapa pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar.
Sebagai contoh, katanya, apabila Menteri Besar mengumumkan untuk membina lapangan terbang di Behrang, keesokkannya seorang exco kerajaan negeri menyanggah dan hal yang sama berlaku apabila Ahmad Faizal mengumumkan Kanun Tanah Negara tidak membenarkan pemberian hak milik tanah sehingga 999 tahun.
"Mana boleh exco sanggah Menteri Besar. Bayangkan, exco balun Menteri Besar. 'Not nice', itu displin yang tak bagus," katanya.
Terdahulu, dalam sidang akhbar, Ahmad Zahid berkata, UMNO bersiap siaga jika ditakdirkan ada Pilihan Raya Negeri, bergantung pada situasti yang berlaku di Perak dan di DUN.
"Perhubungan UMNO negeri telah siap, bukan hanya sekadar data tapi keseluruhannya yang mana kita akan turun dan membuat penjelasan," katanya. - UTUSAN ONLINE