Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peguam yang kini telah ditahan oleh pihak polis itu didapati telah membayar sebanyak RM150,000 kepada dalang utama kumpulan tersebut sementara setiap ahli kumpulan tersebut menerima bayaran antara RM150 hingga RM300.

Pihak yang dikaitkan dengan syarikat pemaju telah tidak mematuhi proses pengambilalihan tapak kuil sepertimana yang dirancang mengikut peruntukan undang-undang. 
“Tindakan menceroboh yang amat tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang ini telah menimbulkan kemarahan penganut agama Hindu yang berada di kawasan kejadian sehingga menimbulkan kekecohan, pergaduhan dan kerosakan harta benda,” katanya pada sidang akhbar khas mengenai insiden rusuhan di tapak kuil tersebut di sini hari ini.
Hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.
Media melaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi Isnin lalu, puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil berkenaan sebelum tercetus pergaduhan di lokasi terbabit.
Difahamkan, perselisihan faham antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil itu menjadi punca pergaduhan berkenaan.
Sebanyak 23 kenderaan musnah dibakar setakat ini termasuk empat kereta dan sebuah van dalam insiden terbaharu di kuil berkenaan.
Dua peguam tersebut kini ditahan bersama 19 orang individu yang disyaki terlibat dalam insiden terbabit. - K! ONLINE #CelahGelegar