AKIBAT kenaikan harga gred getah dan kejatuhan mata wang ringgit, harga tayar baharu dan celup akan dinaikkan antara lima hingga 10 peratus mulai 1 Januari 2017.

Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Tayar Negeri Johor, Goh Soo Chay ketika memberitahu Nanyang Siang Pau, peniaga tayar tempatan dimaklumkan mengenai kenaikan harga tayar ini oleh beberapa pihak seperti syarikat pengimport, pemborong dan syarikat pembuat tayar tempatan.  

“Tayar-tayar import kecuali China akan dinaikkan antara lima hingga 10 peratus, manakala tayar yang diimport dari China dijangka naik sebanyak 10 peratus.

“Manakala syarikat pembuat tayar celup juga telah memberitahu semua peniaga tayar tempatan bahawa harga baharu tayar celup akan dinaikkan antara lima hingga 10 peratus mulai 1 Januari 2017,” kata Soo Chay.

Menurut beliau, syarikat pembuat tayar dari China sebelum ini telah menjelaskan pihaknya terpaksa menaikkan harga tayar disebabkan harga gred tayar SMR20 telah naik sebanyak enam peratus dan ditambahkan lagi kejatuhan nilai ringgit sebanyak lapan peratus.

“Secara keseluruhannya, jumlah kenaikan sepatutnya adalah 14 peratus, namun pihak syarikat pengimport dan pemborong telah bersetuju menetapkan kadar kenaikan sebanyak 10 peratus sahaja,” jelasnya lagi.

Kata Soo Chay, gred tayar SMR20 yang berharga RM6 sekilogram tidak berapa lama dulu telah meningkat kepada RM9.26 sekilogram pada pertengahan Disember lalu. Ketika ini, harganya kekal RM8.80 sekilogram.

Selain tayar buatan China, jenama tayar buatan negara-negara asing yang banyak dijual di negara kita termasuklah Bridgestone, Michelin, Falken, Yokohama dan sebagainya; manakala tayar-tayar buatan tempatan terdiri daripada Goodyear, Toyo, Silverstone, Contiental dan sebagainya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar menukar tayar kenderaan mereka sebelum Tahun Baharu Cina ini kerana biasanya penjual tayar mempunyai stok lama antara satu hingga dua bulan yang membolehkan pelanggan boleh beli mengikut harga lama.

“Kenaikan harga memang tidak boleh dielakkan. Tetapi peniaga juga seperti rakyat biasa yang menghadapi tekanan kos hidup yang semakin tinggi.

“Namun kami sentiasa mengamalkan perasaan timbang rasa dan bertolak ansur dengan tidak membebankan pengguna sepenuhnya. Jika tidak, ramai pengguna akan merungut tidak puas hati,” katanya. - SH